MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan membuat beberapa pengumuman penting dalam sidang media mingguannya yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang ini.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Khairy memaklumkan beliau akan menyampaikan kemaskini berhubung varian Omicron.
“Beberapa pengumuman penting pada sidang media jam 5 petang hari ini. Beberapa kemaskini penting berkaitan Omicron dalam sidang media tersebut,” katanya.
Sidang media tersebut akan disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).
Semalam Khairy dilaporkan berkata Malaysia kini telah berada sepenuhnya di dalam gelombang Omicron.
Susulan itu beliau berkata kes harian Covid-19 dijangka mencecah sehingga 15,000 tidak lama lagi.
Kes harian Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan mendadak, melebihi angka 10,000 buat pertama kali dalam tempoh lebih empat bulan.
Terbaharu sebanyak 10,089 kes dilaporkan semalam, iaitu peningkatan hampir 1,000 kes berbanding 9,117 kelmarin, dipercayai akibat penularan varian Omicron.
Kali terakhir kes di Malaysia melebihi angka 10,000 ialah 10,915 yang dicatatkan pada 2 Oktober tahun lalu.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes terus meningkat kepada 2,914,220. – Malaysiapost

