Pejuang tak mahu kumpulan curi harta rakyat dapat kuasa di Johor – Tun M

0
1

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tidak mahu kumpulan tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa dan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

Pesanan itu dititipkan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi surat kepada ahli Pejuang, meskipun beliau masih dirawat dan menjalani pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN).

Tegas bekas Perdana Menteri itu, kuasa yang ada bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuas nafsu duniawi, sebaliknya untuk melepaskan negeri dari cengkaman mereka yang bersikap sedemikian.

Kerana itu katanya, perjuangan parti itu dalam PRN Johor menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul setiap ahlinya yang mempunyai kesedaran.

“Pasti juga yang akan mempertikai dan bertanya apa beza Pejuang dan parti-parti lain. Pejuang berbeza kerana ia ditubuh oleh mereka yang sanggup melepas jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.

“Pejuang juga berbeza kerana ia terdiri dari mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

“Saudara dan saudari di Johor seharusnya merasa bangga kerana dipimpin oleh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang sanggup melepas jawatan dan kedudukan kerana tidak mahu bersekongko! dengan pengkhianat dan kleptokrat.

Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang kita tidak meletak kepentingan din sebagai objektif perjuangan,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, pihaknya sedar laluan yang bakal ditempuh bukanlah mudah kerana ian penuh berliku dengan onak dan duri.

“Keberanian menghadapi cabaran; yakin bahawa perjuangan kita itu suci dan ikhlas; mempertahan agama, bangsa dan tanah air itu satu tanggungjawab, satu amanah dan juga satu ibadah; InsyaAllah, kita tidak akan tergelincir dari landasan kebenaran.

“Saya yakin saudara-saudari akan sentiasa teguh memegang amanah dan tanggungjawab ini. Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaaan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu Dr Mahathir menyatakan rasa terkilan kerana buat masa ini tidak dapat bersama ahli Pejuang dalam menghadapi PRN Johor disebabkan masalah kesihatan.

Katanya, walaupun masih perlu berada di hospital untuk beberapa waktu lagi, beliau bersyukur kerana telah beransur sihat.

“InsyaAllah, saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kila akan dapat bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan.

“Namun begitu percayalah, semangat dan jiwa saya mengiringi saudara dan saudari di dalam setiap langkah yang diambil.

“Saya sedar ramai yang berkata mengapa perlu saya ambil peduli dengan soal-soal duniawi dan seharusnya menumpu kepada perkara-perkara akhirat dan ibadah.

“Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksana ibadah yang perlu. Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here