PERKONGSIAN gambar yang didakwa majlis pertabalan keluarga diraja tular di media sosial dan majlis berkenaan dilihat berlangsung di tepi kebun getah, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian laman Facebook Ratu Kaneka Hyang Isana, menunjukkan beberapa keping gambar yang dikatakan majlis pertabalan Raja Segala Raja Sedunia.

Dalam hantaran tersebut juga dinyatakan lokasi pertabalan itu berlangsung di kaki Bukit Salai, Ulu Jelebu dan hanya beralaskan kain berwarna kuning, putih serta kain batik.
Majlis pertabalan itu dikatakan dilakukan pada Rabu lalu (2 Februari 2022) pada jam 3.33 petang.

Seorang lelaki lengkap berpakaian songket dan bertanjak kelihatan bergambar dengan beberapa individu termasuk seorang wanita berpakaian seperti permaisuri berwarna kuning.
Rata-rata netizen yang melihat perkongsian itu curiga dengan aksi yang dipaparkan pemilik akaun Facebook tersebut.
Mereka berpendapat ritual seperti itu tidak masuk akal dan sengaja mahu merosakkan institusi diraja negara ini.
“Kalau iya pun save bajet, kenapa buat atas tanah tepi ladang getah bang oi. Buat malu orang Jelebu yo,” kata Falahin.
“Memang wujud orang macam ni ya. Tapi lagi pelik ada geng yang percaya. Tengok pada persembahan pun tahu tak berapa sihat,” ujar Aiman Hakim.
“Kain batik siapa kena rembat tu. Rasanya geng-geng ini kuat tengok drama. Buat malu orang Melayu je tiba-tiba nak claim jadi raja,” kata Ayie Lantana. – Malaysiapost

