Abdul Hadi selesai adakan lawatan kerja ke Qatar

0
1

HUBUNGAN dua hala antara Malaysia dan Qatar diperkukuhkan lagi melalui lawatan kerja Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ke Doha selama empat hari yang berakhir hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah dalam satu kenyataan, hari ini mengenai lawatan kerja yang bermula 31 Januari hingga 4 Februari 2022.

Menurut kenyataan itu, lawatan kerja berkenaan adalah dengan mandat dan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia – Qatar yang sedia terjalin, serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, sepanjang lawatan di Doha, Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama.

“Antaranya adalah Perdana Menteri Qatar, Yang Mulia Sheikh Khalid Khalifa; Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Yang Mulia Sheikh Mohamed Hamad; Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Yang Mulia Lolwah Rashid Al-Khater; dan Ketua Pengarah, Qatar Fund for Development (QFFD), Khalifa Jassem Al-Kuwari.

“Ketua Pegawai Eksekutif, Qatar Charity (QC), Yousef Ahmed Al-Kuwari; Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr Ahmed Raissouni; dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, fokus utama lawatan itu adalah untuk menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

“Ia termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama.

“Pada masa sama, Tan Sri berkesempatan mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu, di samping mengadakan majlis ramah mesra dengan kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Qatar,” katanya.

Menurutnya, Abdul Hadi juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri Qatar, Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar dan Pejabat Kedutaan Qatar di Malaysia susulan lawatan itu.

“Dimaklumkan juga bahawa, Tan Sri kini sedang menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here