ANAK ketiga pelawak dan usahawan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah iaitu Ariq Matin memberi bayangan seolah-olah tidak mahu mempunyai ibu tiri jika suatu hari bapanya berniat untuk berkahwin lagi.
Dalam video yang dimuat naik di laman Instagram, Ariq Matin yang berusia enam tahun itu berkata dia khuatir jika perempuan (ibu tiri) akan meminta wang daripada bapanya.
“Tak nak. Sebab membazir duit. Nak tahu kenapa? Nanti perempuan itu (ibu tiri) minta duit dekat daddy (Shuib).
“Nanti kita jadi miskin,” jawabnya.
Jawapan spontan itu diberikan Ariq Matin menjawab soalan seorang wanita dipercayai ibu tiri kepada Siti Sarah iaitu Siti Fatimah Suberi yang mengendalikan Instagram penyanyi itu.
Ternyata jawapan tersebut menarik perhatian netizen yang terhibur dengan kata-kata jujur daripada kanak-kanak itu.
Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, 37, sebelum ini pernah mengulas berkenaan soal jodoh dan mengakui belum ada wanita lain yang dapat mengisi hatinya selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah.
Dalam pada itu, sebuah rakaman video di Instagram milik Shuib meruntun hati pengguna media sosial selepas menunjukkan anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra menangis ketika dibawa menziarahi pusara ibunya.
“Paling dirindu,” tulis Shuib.
Pelantun lagu Kesetiaan itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi pada Ogos tahun lalu selepas bertarung nyawa akibat komplikasi Covid-19
Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah pada 2011. Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang berusia lima bulan. – Malaysiapost

