
KETEGANGAN politik yang dilihat berlaku di negara ketika ini perlu diredakan dan fokus perlu diberikan untuk membangunkan negara dan rakyat.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata suhu politik dapat diredakan dengan pelaksanaan pilihan raya seperti yang diadakan di Melaka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, tidak bersetuju dengan pandangan mengenai pemimpin politik negara yang ketika ini sibuk ‘bergaduh’.
“Saya tidak menafikan apa yang disebut. Fokus mesti diberikan untuk membangunkan negara dan rakyat.
“Kerana ini beri kuasa semula kepada rakyat. Biar rakyat pilih sebuah kerajaan yang stabil dan diyakini.
“Hanya kestabilan kerajaan sahaja mampu menyelesaikan masalah. Dan suhu politik diredakan sebagaimana Melaka.,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media berhubung teguran bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tentang sikap pemimpin politik di negara ini yang saban hari bertelingkah untuk berebut kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Shamsul berkata, dengan diadakan pilihan rayas tumpuan boleh dibuat untuk rakyat dan negara ini.
“Hakikatnya ekonomi dan keyakinan pelbagai pihak kepada negara mesti diperkukuhkan semula. Jika tidak kita akan jauh ditinggalkan,” katanya.
Suhu politik dilihat semakin ‘panas’ terutama antara tiga pakatan terbesar negara iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Johor.
Paling hangat ketika ini adalah tuduhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengumpamakan Umno seperti ‘itik patah kaki’ yang seolah-olah lupa diri selepas diselamatkan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
Abdul Hadi, menuduh Umno mahu tinggalkan PAS selepas ‘sembuh’ dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak bermaruah dan tidak betul. – Malaysiapost
