BAJU-T yang memaparkan lakaran dan tulisan #TanganGhaib mula dijual dan boleh dibeli secara atas talian menerusi JDT Online Store.
Malah tinjauan di kebanyakkan laman Facebook penyokong kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memang sedang meriah mempromosikan jualan baju-T cetusan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.
Malam tadi, TMJ yang juga pemilik JDT memaklumkan perkara itu menerusi ruangan InstaStory laman Instagram miliknya.
“Baju-T baharu saya dicetak esok. Siapa nak DM. Boleh didapati di JDT Online Store tidak lama lagi! Nantikan,” tulisnya beserta gambar baju-T berkenaan.
Tindakan TMJ ini dipercayai membalas kritikan hebat yang diterimanya ketika ini kononnya beliau adalah ‘tangan ghaib’ dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan kebangsaan terutamanya selepas kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2020.
Sebelum ini, TMJ menafikan beliau tangan ghaib yang dimaksudkan sesetengah pihak sambil menganggap spekulasi itu dibuat oleh individu tertentu sebagai alasan untuk melepaskan diri masing-masing.
“Isu tangan ghaib ini lebih kepada ada beberapa pihak yang mahu lepaskan tangan atau selamatkan kepala masing-masing. Kegagalan perancangan, kegagalan jurulatih untuk ada hubungan yang telus dengan media dan penyokong.
“Ini semua ada tangan ghaib, senang sahaja, saya sebagai kambing hitam sedangkan saya tiada kaitan pun dengan benda ini. Mungkin mahu selamatkan diri masing-masing, jadi mainkan persepsi seolah-olah TMJ kawal segala-galanya.
“Kalau nak katakan (JDT enggan lepaskan pemain), berapa ramai pemain JDT ke Jordan. Kesebelasan utama dan juga pemain simpanan kerana saya sentiasa menolong skuad kebangsaan. Kita ada persefahaman dengan semua pasukan dalam negara untuk bantu skuad kebangsaan.
“Sebab itulah saya katakan jurulatih dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena lebih telus kerana kalau tidak, akan keluar persepsi macam macam orang kata saya kawal semuanya,” katanya. – Malaysiapost

