TIGA individu ditahan, manakala 26 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk sempena cuti Tahun Baru Cina yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Ketua JSPT Pulau Pinang Superintendan Zafri Zokapli berkata, pihaknya menjalankan operasi bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.
Menurutnya, hasil operasi yang dijalankan, 26 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan 161 saman telah dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan.
“JSPT Pulau Pinang juga berjaya membuat tangkapan dua lelaki mengikut Seksyen 45A APJ 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.
“Seorang penunggang motosikal juga ditahan selepas cuba melarikan diri susulan memiliki air ketum dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilakukan susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan samseng jalanan serta sempena Op Selamat 17 Tahun Baru Cina 2022. – Malaysiapost

