
PERIKATAN Nasional (PN) dicabar mengekalkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ pakatan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti ketika PRN Melaka pada November lalu.
Cabaran itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang turut mencabar PN supaya menggunakan slogan ‘Abah sayang Johor’ dalam PRN kali ini.

“Saya nak cabar Muhyiddin supaya dia kekal jadi ‘poster boy’ PN di PRN Johor. Tolong guna slogan sama macam di Melaka ‘Abah sayang Johor’.
“Masa enam bulan pertama jadi Perdana Menteri (PM) kelapan, Muhyiddin dan pengampunya mendakwa dia adalah PM paling popular. Rupanya selepas 17 bulan, ‘Abahku’ hilang jawatan PM. Dia ‘PM Gagal’,” katanya di Facebook, hari ini.
Mohd Puad mendakwa, kekuatan atau nyawa parti Bersatu terletak pada Muhyiddin dan PRN Johor akan menentukan hidup mati parti berkenaan.
“Ada ‘Abahku’, adalah Bersatu PRN Johor adalah medan hidup mati Bersatu. Ia beban berat kepada ‘Abahku’.
“Semoga ‘Abahku’ tidak menyesal kerana tubuh Bersatu dan cuba bunuh Umno,” katanya.
Beliau berpendapat, Muhyiddin patut kesal dan malu jika kalah dengan ahli akar umbi Umno yang kental setia dengan Umno. – Malaysiapost
