TULAR di media sosial mengenai video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki tanpa pakaian dan memakai pelitup muka dipercayai memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian di Shah Alam, Sabtu lalu.
Video berdurasi dua minit 50 saat itu menunjukkan lelaki terbabit yang turut didakwa sebagai ‘orang minyak’ dilihat di ruang tamu dan memasuki bilik rumah terbabit sambil memegang lampu suluh.
Menerusi keterangan video itu, kejadian dikatakan berlaku di satu taman perumahan di Seksyen 20, lapor Sinar Harian.
“Perkongsian untuk semua, kejadian berlaku di kawasan Seksyen 20. Orang minyak datang kembali.
“Manusia menceroboh dan mencuri di rumah dalam keadaan berbogel, waktu lebih kurang 5 hingga 6 pagi,” menurut keterangan video yang dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sedang menyemak berhubung penyebaran video terbabit.
Beliau memaklumkan, setakat ini belum ada pihak yang tampil membuat laporan berhubung kejadian terbabit. – Malaysiapost

