“SEKARANG baru mula nak siasat setelah saya buat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendesak kerajaan dedahkan nama-nama yang disogok,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian susulan daripada tindakan SPRM yang dilaporkan telah memanggil beberapa saksi berhubung siasatan ke atas pegawai kerajaan dan 1MDB yang didakwa menerima sogokan daripada Goldman Sachs.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, Goldman Sachs sudah membayar pampasan berjumlah RM16.6 bilion pada kerajaan Malaysia selepas mengaku pengurusan bank itu telah menyogok beberapa pegawai kerajaan dan 1MDB.
“Kerajaan Malaysia bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah terima sepenuhnya bayaran pampasan ini,” katanya menerusi Facebook.
Namun, Najib berkata, beliau tidak faham mengapa kerajaan langsung tidak mahu mengambil tahu siapakah nama-nama pegawai kerajaan dan 1MDB yang disogok dalam kes berkenaan.
“Tak mahu dedahkan secara umum atau ambil sebarang tindakan. Geng sebelah sana pun tak ingin tahu siapakah yang disogok sehingga sebuah bank antarabangsa perlu mengaku dan membayar gantirugi sebanyak RM16.6 bilion,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, SPRM memanggil beberapa saksi berhubung siasatan ke atas pegawai kerajaan dan 1MDB yang didakwa menerima sogokan daripada Goldman Sachs.
Menurut sumber, SPRM juga dalam proses mendapatkan dokumen berkaitan daripada agensi penguatkuasaan antarabangsa yang terlibat.
Siasatan itu adalah susulan pengakuan bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner pada 2018 bahawa beliau telah merasuah pegawai kerajaan dan 1MDB.
Leissner mengaku bersalah di mahkamah New York atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah bagi peranannya dalam penyelewengan sebahagian besar daripada dana sebanyak USD6.5 bilion yang diperoleh untuk 1MDB.
Bagaimanapun, senarai nama individu yang didakwa menerima sogokan itu tidak didedahkan.
Goldman Sachs kemudiannya bersetuju membayar USD3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada Malaysia dalam perjanjian penyelesaian kerana peranannya dalam skandal itu.
Oktober lalu, Najib, membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan pihak berkuasa menyoal Leissner atau memohon untuk beliau diekstradisi ke Malaysia.
Najib turut menggesa pihak berkuasa negara ini supaya mendapatkan senarai nama mereka yang disogok oleh Leissner. – Malaysiapost

