Ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat – PM

0
1
Ismail Sabri CNY

EKONOMI Malaysia kini berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

“Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan,” katanya.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang berlangsung esok, Perdana Menteri berkata peluang yang dinikmati itu diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

Katanya, namun dikala bergembira, usah dilupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan semua dapat terus hidup membendung penularan wabak Covid-19.

“Selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, pada tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sempena tahun harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.

“Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here