Jika berani beri pinjaman tanpa cagaran, mesti berani luluskan RM10,000 KWSP – Asyraf Wajdi

0
1
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, sememangnya wajar menjelaskan mengenai persoalan berhubung isu pinjaman yang diberikan oleh tiga bank Malaysia kepada Genting Hong Kong yang kini diisytiharkan muflis.

Ketua Pemuda Umno Datu Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia kerana Tengku Zafrul juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank pada masa itu.

“Panjang lebar penjelasan Tengku Zafrul perihal pinjaman sindiket (syndicated loan) kepada Genting Hong Kong oleh tiga bank Malaysia – iaitu Maybank, CIMB dan RHB.

“Memang selayaknya dijelaskan oleh beliau kerana kebetulan Tengku Zafrul juga adalah CEO Maybank Investment Bank pada masa itu yang juga merupakan penggerak utama bagi pinjaman sindiket melibatkan tiga bank besar.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan PNB adalah pemegang saham utama bank-bank ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengulas mengenai penerangan Menteri Kewangan itu berhubung isu Genting Hong Kong yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Asyraf Wajdi, turut membandingkan tindakan Tengku Zafrul yang sangat berani mengepalai pinjaman tanpa cagaran yang berisiko itu, namun tidak berani membenarkan pengeluaran simpanan KWSP.

“Justeru jika tahun 2012, Tengku Zafrul boleh sebegitu berani mengepalai pinjaman tanpa cagaran yang berisiko, apa salahnya tahun 2022 ini luluskan juga tuntutan dan harapan rakyat yang amat terdesak untuk mengeluarkan RM10,000 wang simpanan KWSP mereka,” katanya.

Tengku Zafrul semalam memberi penerangan mengenai beberapa isu dibangkitkan berhubung Genting Hong Kong.

Antara isu yang dijelaskan beliau adalah mengenai tentang peranan Menteri Kewangan dalam proses kelulusan pinjaman dan tentang peranan Khazanah, KWSP dan PNB sebagai pemegang saham di dalam bank yang terlibat.

Isu lain adalah berkenaan, pinjaman tanpa cagaran yang diberikan kepada syarikat dalam sektor libur itu dan syarikat perjudian seperti Genting. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here