Skim bantuan khas diperkenal rawat projek perumahan lewat

0
2

LEMBAGA Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memperkenalkan Skim Bantuan Khas Projek Perumahan Lewat Siap 2022 bagi merawat projek perumahan lewat dan sakit di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata lebih menarik lagi LPPSA turut memberi Skim Bantuan Khas itu kepada projek lain yang dianggap sesuai.

“Salah satu agenda War Room Perumahan yang saya tubuhkan adalah untuk melihat ikhtiar-ikhtiar yang boleh merawat keresahan rakyat melibatkan projek perumahan lewat dan sakit di bawah kawal selia KPKT — Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

“Saya tahu, rakyat terkesan akibat kesulitan dan masalah yang dihadapi daripada projek-projek ini. Peminjam LPPSA ini bukannya orang lain, penjawat awam sendiri.

“Maka, War Room Perumahan telah mengemukakan permohonan bagi pertimbangan Kementerian Kewangan dan LPPSA agar rakyat yang menggunakan pembiayaan LPPSA diberi sedikit kelonggaran atau penstrukturan semula pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Reezal Merican mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan LPPSA yang meluluskan Skim Bantuan Khas tersebut.

Menurutnya, skim itu sedikit sebanyak dapat melegakan beban pihak yang memohon, para penjawat awam yang telah memberi khidmat terbaik kepada negara selama ini.

“Insya Allah, KPKT akan terus berusaha melakukan yang terbaik di samping memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk manfaat rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here