TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, yakin Tan Sri Azman Mokhtar mampu mengemudi Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai pengerusi baharu.
Beliau berkata, dengan kepakaran serta pengalaman dalam mengurus institusi pelaburan terbesar negara sebelum ini, sudah pasti kehadiran Azman di TH akan membawa sinar baru bagi umat Islam.
“Tan Sri Azman Mokhtar, (adalah) permata baru bagi mengemudi perjalanan TH sebagai institusi kewangan terbesar umat Islam.
“Dalam pertemuan saya dengan beliau semalam, saya amat teruja mendengar segala buah fikiran dan cadangannya bagi meneruskan kemampanan operasi TH,” katanya.
Jelas Ahmad Marzuk, beliau percaya Azman mampu menguruskan institusi itu dengan baik dalam memastikan TH mencapai hasrat dan matlamat penubuhannya.
Katanya, cabaran Azman amat besar, terutamanya dalam memperbetulkan segala persepsi yang berlegar serta membawa TH ke landasan yang sebenar sebagai institusi yang penting untuk umat Islam di Malaysia.
“Saya meletakkan harapan yang tinggi buat Tan Sri Azman dalam memandu perjalanan TH. Semoga Allah membimbing Tan Sri dalam melaksanakan amanah ini,” katanya.
Sebelum ini, TH mengumumkan pelantikan Azman sebagai Pengerusinya yang baharu berkuatkuasa 19 Disember lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH mengalu-alukan pelantikan itu dan menyifatkan Azman sebagai tokoh yang disegani.
Jelasnya, Azman berpengalaman khususnya dalam aspek pelaburan dan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semasa beliau menerajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dari tahun 2004 hingga 2018. – Malaysiapost

