JENAZAH empat beranak yang maut selepas kenderaan mereka dirempuh pikap di Kilometer (KM) 2, Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Bentong, Pahang, semalam, selamat dikebumikan pagi ini.
Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, Kelantan, kira-kira jam 9.50 pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran suami, Mohd Nazri Hamid, 44, ahli keluarga dan saudara mara mangsa, lapor Berita Harian.
Terdahulu, jenazah empat beranak, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan berusia lima tahun tiba di kawasan perkuburan pada jam 8.30 pagi dengan van jenazah selepas disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin.
Semalam, media melaporkan, empat maut beranak itu maut selepas kenderaan mereka naiki dirempuh dengan sebuah pikap yang pemandunya dipercayai di bawah pengaruh dadah pada jam 2 petang.
Bagaimanapun, pemandu pikap itu hanya mengalami cedera ringan.
Siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati, pemandu pikap Nissan Navara berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.
Siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – Malaysiapost
Kredit Foto: Youtube

