BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan berhubung buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Ahli Parlimen Pandan itu diminta hadir untuk direkod keterangan pada jam 3 petang ini.
“Benar (Wan Azizah dipanggil Bukit Aman) dan ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan kandungan buku berkenaan termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dipetik berkata pasukan khas itu dipengerusikan Penasihat Undang-Undang negeri Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Sri Fong Joo Chung.
Wan Junaidi berkata, pada masa sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Siasatan dijalankan selepas polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku berkenaan.
Antara yang telah membuat laporan polis ialah bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria serta bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. – Malaysiapost

