PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menyifatkan Barisan Nasional (BN) kini adalah sebuah parti yang tidak lagi relevan dan ia sepatutnya digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).
Abdul Hadi berkata, BN perlu menerima hakikat berkenaan kerana ia adalah senario politik yang perlu difahami parti itu.
Jelasnya, PAS akan meneruskan perjuangan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana perjuangan parti itu adalah untuk menyatukan ummah termasuk kepada bukan Melayu.
“Maka perpaduan kita bukan dengan Umno sahaja, (ia) mesti melibatkan Bersatu. Kita buat (tubuhkan) MN ini untuk masyarakat majmuk bukan Melayu sahaja iaitu antara PAS dan Umno.
“Jadi ia mestilah melalui masyarakat majmuk, bagi kita BN tidak relevan lagi. Dulu Perikatan, (apabila) tak releven buat BN dan (bila) tak relevan (lagi) buatlah PN. Begitulah senario politik yang kita kena faham,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, usaha PAS untuk menyelamatkan Umno yang disifatkannya sebagai ‘patah kaki’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kini disia-siakan parti itu.
“PAS bukan nak ajar itik (Umno) berenang, tapi nak selamatkan itik yang patah kaki pada PRU14. Malangnya bila kaki dah sembuh dia (Umno) nak berenang sendiri. Nak tinggal kita (PAS).
“Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral yang tidak betul,” katanya.
Ditanya sama ada, beliau kecewa dengan tindakan Umno yang dilihat mengkhianati PAS, Abdul Hadi berkata, bukan semua pemimpin parti itu tetapi ia hanya membabitkan kluster tertentu termasuk Kluster Mahkamah dan Kluster Tewas PRU14 serta mereka yang tidak berjawatan.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Abdul Hadi berkata, ia bukan strategi yang baik, tetapi dilakukan demi kepentingan pihak tertentu.
“Kluster mahkamah ni, kalau kita ada moral, lawan di mahkamah jangan susahkan rakyat.
“Nak selamatkan diri susahkan rakyat dengan adakan PRN. Lawan di mahkamah lah… kalau kita betul, jangan takut.
“Bagi Kluster Kalah PRU14 kena lah bersabar, tunggulah pilihan raya (bertanding semula),” katanya. – Malaysiapost

