Kerajaan akan tubuh MSDN negeri, Wilayah Persekutuan

0
2

MAJLIS Statistik dan Data Negara (MSDN) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah termasuk di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata MSDN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

“Antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

“Chief Data Officer (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap Kementerian/ Jabatan/ Agensi Persekutuan dan Negeri mulai tahun 2022 secara berperingkat.

“Pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, data merupakan aset yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

“Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, MSDN dianggotai menteri Kabinet, ahli akademik, wakil sektor awam, swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat.

“Di samping itu, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

“Empat Kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif yang berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

“Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta.

“Ia dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penubuhan MSDN diharap mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here