WANITA warga emas yang tular sebelum ini selepas rumah pusaka didiaminya hanyut dalam kejadian bencana banjir besar di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor, pada 18 Disember lalu, bakal mendapat kediaman baharu.
Rumah berkenaan bakal dihadiahkan oleh pendakwah bebas, Ebit Lew yang berjanji akan membina semula rumah Rohana Mahfuz, 76, yang kini hanya tinggal tangga sahaja.
Ebit bersimpati dengan ujian hidup yang dialami wanita terbabit dan bersyukur dapat menziarah serta membantunya.
“Syukur dapat hadiahkan nenek Rohana tahun rumah baru. Setelah rumahnya hanyut banjir di Hulu Langat. Semuanya habis cuma tinggal tangga.
“Kami akan bina semula rumah. Menangis jer dari mula jumpa tadi. Dah sebulan nenek tak tahu macam mana nak bina rumah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sejak awal pertemuannya, warga emas terbabit meluahkan rasa dan ujian hidup yang dihadapinya serta meminta mendoakan agar disayangi Allah dan masuk syurga.
“Dari mula menangis jer. Katanya ini hari paling gembira dapat jumpa ustaz. Saya jarang menangis tapi hari ni nak menangis sahaja.
“Nenek doakan saya ye. Mak ayah saya dah meninggal dunia. Saya perlu doa nenek. Terus nenek doakan saya. Syukur rasa,” katanya.
Ebit berkata, selepas melihat pelan rumah warga emas terbabit beliau seterusnya menghubungi pihak kontraktor bagi membina segera kediaman berkenaan.
“Insya-Allah akan bina rumah baru untuk nenek. Nenek tiada suami dan anak-anak. Syukur adik beradik dan jiran tetangga ramai membantu. Serta masyarakat ramai membantu.
“Doakan rumah nenek dapat kami siapkan mengikut pelan asal. Alhamdulillah segala puji bagi Allah,” katanya.
Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Rohana sempat menyelamatkan diri sebelum rumah pusaka didiaminya hanyut dalam kejadian banjir.
Rumah pusaka yang dibina pada tahun 1969 peninggalan ibu bapa kepada lapan beradik itu menjadi tempat berteduh kepada Rohana yang juga anak sulung. – Malaysiapost

