PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan mengambil pendekatan serius bagi menangani isu urusan haji dan umrah.
Beliau berkata, masalah yang timbul ketika ini adalah disebabkan ‘decision making’ yang sangat lemah di pihak kementerian-kementerian terlibat dalam membuat keputusan berhubung isu tersebut.
“Pagi tadi saya menerima kunjungan daripada delegasi Gabungan Pengendali Umrah yang mengadu tentang masalah yang dihadapi pihak mereka dalam urusan haji dan umrah.
“Pelbagai isu yang dibangkitkan di dalam pertemuan tersebut adalah berpunca dari masalah dasar dan perencanaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ketiadaan libat urus dan penyelarasan yang serius antara Kementerian Pelancongan dan pemain-pemain lapangan seperti agensi pelancongan yang menguruskan haji dan umrah sangat mengecewakan.
“Keadaan ini menyebabkan beban yang ditanggung mereka memberi kesan yang sangat besar.
“Ini membuktikan ia adalah masalah ‘decision making’ yang sangat lemah di pihak kementerian-kementerian terlibat yang tidak membuat keputusan yang jitu dan tuntas,” katanya.
Menurut Anwar, sebagai contoh, kebenaran untuk penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi pada 8 Februari yang diumumkan semalam, kini perlu dimuktamadkan semula.
“Mereka telah bertemu dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Menteri Kesihatan baru-baru ini. Namun, belum ada langkah segera telah diambil setakat ini.
“Saya mendesak pihak kerajaan mengambil pendekatan yang serius bagi menangani isu ini demi kepentingan dan kebaikan semua,” katanya.
Semalam, Kabinet membuat keputusan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Namun hari ini, Nancy menjelaskan, penerbangan tidak semestinya dilaksanakan pada tarikh tersebut kerana banyak perkara perlu dimuktamadkan. – Malaysiapost

