107 kluster Covid-19 kategori pendidikan dikesan

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

SITUASI semasa kluster Covid-19 dalam sektor pendidikan dilaporkan semakin membimbangkan susulan peningkatan kes dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan sejak sesi persekolahan bermula pada 9 dan 10 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bermula 1 sehingga 25 Januari lalu, terdapat sebanyak 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan yang telah melibatkan 4,633 kes.

Beliau berkata, secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3%)

Menurutnya, ia diikuti oleh kategori pendidikan lain (24.3%), kategori pendidikan tinggi pula mencatat (20.6%), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8%).

“Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3%) telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4%) pula telah menerima dos penggalak.

“Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi adalah terdiri daripada kategori 3 dan 4.

“Kesemua 12 kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada beberapa faktor.

“Antaranya, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan; individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas; dan murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan serta prosedur kuarantin.

“Faktor lain adalah ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggariskan beberapa garis panduan saringan Covid-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

“Sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10% daripada kohort murid yang hadir ke sekolah pada setiap minggu. Pengujian perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD.

“Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengesan awal kes Covid-19 dalam kalangan murid sekolah,” katanya.

Menurutnya, satu mesyuarat khas membabitkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan juga telah diadakan pada 22 Januari lalu dengan beberapa penambahbaikan dicadangkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here