Layanan dua darjat, anak tulis surat terbuka kepada KJ

0
1

MEMASUKI tahun ketiga dunia termasuk Malaysia berdepan dengan pandemik Covid-19, namun kaedah menangani wabak berkenaan oleh pihak berkuasa dilihat tidak banyak berubah terutama membabitkan layanan ‘antara dua darjat’.

Rata-rata rakyat marhaen perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, namun golongan ‘kayangan’ menikmati pelbagai ‘kelonggaran’.

Antara layanan berbeza yang sering dibangkitkan oleh netizen adalah SOP membabitkan hospital di mana golongan kenamaan atau VIP mudah melawat pesakit di hospital, manakala rakyat marhaen sebaliknya.

Pengalaman itu dikongsi oleh seorang wartawan yang ibunya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan pembedahan tiroid sejak 21 Januari lalu.

Menurut wartawan wanita terbabit, ahli keluarga sehingga kini langsung tidak dibenarkan melawat ibunya yang berusia 80 tahun dan turut mengalami masalah jantung.

“Lebih sayu apabila pihak hospital memaklumkan keluarga hanya dibenarkan melawat jika pesakit berada dalam keadaan kritikal sahaja.

“Sebagai seorang anak, memikirkan ibu bersendirian di hospital tambahan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, membuatkan hati saya pilu dan sakit,” luahnya.

Luahan itu dibuat melalui surat terbuka ditujukan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Menceritakan perkara itu, beliau berkata ibunya dari Ipoh dan dimasukan ke pusat perubatan berkenaan untuk pembedahan dan telah dipindahkan ke wad, namun keluarga tidak dibenarkan melawat.

Beliau meminta ihsan daripada menteri dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melonggarkan sedikit larangan ditetapkan, kerana ia membabitkan nyawa insan tersayang.

“Menteri KJ, keadaan yang membuatkan saya ralat, apabila doktor telefon maklumkan keadaan ibu saya semakin teruk, ibu saya disahkan menghidapi masalah jantung.

“Saya minta sekali lagi kebenaran untuk melawatnya, tetapi apa yang saya dapat…jawapan sama tidak dibenarkan sama sekali, mereka mengatakan kelonggaran lawatan hanya diberikan kepada pesakit yang kritikal.

“Apakah bermakna saya tiada peluang langsung untuk jumpa ibu saya walaupun sekejap. Perlu tunggu sehingga kritikal baru boleh jumpa, adakah saat itu masih berguna untuk kami anak-anak bertemu ibu yang sakit dan perlukan perhatian,” katanya.

Menurutnya, beliau berkecil hati apabila membaca berita bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN) yang berada di IJN ditemani keluarga serta menerima pelawat termasuk Perdana Menteri.

“Saya sanggup dan boleh jalani ujian saringan setiap hari sekiranya itu syarat dikenakan untuk melawat ibu saya, tetapi itu juga tidak dibenarkan.

“Menteri KJ, Tahun Baru Cina sudah dekat. Sudah tentulah ibu saya akan menyambut perayaan ini dalam hospital..sendirian..saya sangat-sangat berharap pihak hospital pertimbangkan permintaan saya,” katanya. – Malaysiapost11:22 AM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here