Tiada ‘lockdown’ tahun ketiga Covid-19 di Malaysia – KJ

0
2

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa lanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan dan kawalan sempadan tidak lagi dilakukan masuk tahun ketiga pandemik Covid-19.

Memetik laporan CodeBlue, Khairy berkata, sebaliknya vaksin, kewaspadaan, dan pemerkasaan komuniti akan menjadi keutamaan dalam menguruskan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, beliau juga memberi amaran kepada dunia agar tidak memandang ringan terhadap Omicron kerana ia dilaporkan sebagai varian yang lebih cepat menular daripada Delta.

“Walaupun dunia sudah letih dengan arahan ‘henti-mula-henti-mula’, tapi kita juga tidak harus menganggap bahawa membiarkan Omicron merobek akan membawa kepada pengakhiran pandemik ini dengan tidak meninggalkan banyak kematian dan kerosakan.

“Malaysia telah cuba bertindak balas dengan cara yang ditentu ukur dan berkadar. Kami telah melaksanakan strategi mitigasi untuk membendung wabak itu sambil memperlahankan gelombang Omicron yang akan datang tanpa mengenakan sekatan yang keras atau membebankan sistem penjagaan kesihatan kami.

“Semasa kita bergerak ke hadapan, kadang kala dengan strategi yang berbeza, konsensus normatif tentang cara kita semua ‘hidup dengan Covid-19’ adalah perlu.

“Kerajaan Malaysia masih belum mengisytiharkan secara rasmi peralihan negara ke fasa endemik dengan Covid-19 sebagai penyakit yang akan berterusan untuk masa hadapan. Covid-19 pertama kali dilaporkan di Malaysia tepat dua tahun lalu pada 25 Januari 2020,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam satu ucapan semalam pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO ke-150 di Geneva.

Khairy juga memberitahu WHO bahawa peningkatan Omicron berlaku disebabkan ia sangat mudah berjangkit dan menggariskan keperluan ‘mendesak’ untuk memastikan pengedaran dan akses yang saksama kepada vaksin, penjujukan genom dan rawatan.

“Kemungkinan lebih banyak varian boleh muncul apabila virus itu merebak melalui penduduk dunia yang masih belum divaksinasi,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan Malaysia bekerjasama melalui perkongsian awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan semua orang yang tinggal di negara termasuk bukan warganegara, mendapat akses kepada vaksin Covid-19 tanpa bayaran.

Beliau juga mengetengahkan set data komprehensif mengenai wabak dan vaksinasi Covid-19 yang diterbitkan oleh KKM setiap hari, termasuk butiran senarai tanpa nama bagi setiap kes positif.

“Data Malaysia dikongsi supaya negara lain dapat melihat data sebenar tentang keberkesanan vaksin, jangkitan dan kematian berdasarkan jenis vaksin, semasa vaksin diberikan, dan data peribadi tanpa nama seperti umur dan keadaan kesihatan.

“Melalui ini, maklumat berasaskan bukti disampaikan kepada orang ramai untuk mengurangkan maklumat salah dan juga meningkatkan pengambilan vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here