TUDUHAN Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas dasar desakan kluster mahkamah, adalah tidak berasas.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tuduhan Wan Saiful itu sekadar mahu menimbulkan kemarahan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), dan disifatkan sebagai prasangka jahat.
“Setelah merangka Manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ternyata gagal dilaksanakan. Ketua Penerangan Bersatu yang juga gagal membawa PTPTN ke tahap yang lebih baik ‘bersangka jahat’ apabila tidak berhenti-henti menggunakan istilah ‘kluster makamah’.
“Menuduh PRN Johor diadakan sebagai cara untuk melarikan diri daripada dipenjarakan dan dilakukan oleh orang terdesak yang kemaruk kuasa dan takut penjara. Adalah kenyataan tidak berasas dan kehabisan modal.
“Kenyataannya tiada lain hanya dengan niat mahu menimbulkan kemarahan rakyat kepada Umno BN ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Faktanya DUN Johor dibubarkan atas perkenan Tuanku Sultan Johor setelah dipersembahkan oleh Menteri Besar Johor sesuai dengan Undang-Undang Negeri Johor. Pasti keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai perkara,” katanya.
Beliau berkata, memberikan gambaran kononnya DUN Johor dibubar atas desakan ‘Kluster Makamah’ tidak wajar sama sekali.
“Umno BN adalah parti yang utamakan kepentingan rakyat. Kita tidak membuat keputusan atas kepentingan individu. Rakyat Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.
“Pembubaran DUN Johor, yang akhirnya membawa kepada PRN itu adalah gambaran tanggungjawabnya Umno BN dengan menyerahkan kembali kuasa memilih kepada rakyat agar rakyat Johor dapat menentukan kerajaan yang benar benar memimpin Johor di atas mandat sebenar daripada rakyat. Yakni kerajaan yang rakyat inginkan.
“Kerana itu BN/Umno tidak membuat keputusan tanpa penelitian mendalam. Mandat diperolehi dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor setelah mendapat pandangan MT Umno adalah bukti kesepakatan diperolehi sebelum suatu keputusan dibuat,” katanya.
Shamsul Anuar juga menyifatkan kenyataan Wan Saiful bahawa ‘tiada sebab untuk mengadakan pilihan raya, kecuali nafsu segelintir orang dalam Umno’, merupakan pandangan singkat beliau.
“Realitinya apabila kematian Adun Kempas (Bersatu) pada Disember 2022 lalu, kedudukan Kerajaan BN + PN Johor sangat rapuh. Keadaan ini menambah ketidakstabilan Kerajaan BN + PN di Johor.
“Daripada 56 kerusi. Untuk mendapat majoriti mudah ialah 29 kerusi. Hari ini ( sebelum dibubarkan ), kerajaan Johor ada 28 kerusi ( BN + PN ) manakala PH memiliki 27 kerusi.
“Bayangkan sekiranya berlaku undian penting dan kedudukan undiannya sama (seri), maka Speaker DUN berhak mengundi. Tentu Kerajaan BN + PN Johor menghadapi kesukaran kerana Speaker merupakan wakil dari parti Amanah.
“Biarpun Ketua Penerangan Bersatu kata kerajaan ini stabil namun keadaan kerajaan sebegini tidak memberikan keyakinan kepada pelbagai pihak yang lain,” katanya.
Beliau berkata, Johor merupakan negeri yang strategik di Selatan Semenanjung Malaysia, maka mesti mempunyai kerajaan negeri yang stabil kerana saingan Johor adalah Singapura.
“Jadi, bagaimana ekonomi mahu berkembang baik jika situasi politik begini ? Ruginya ialah rakyat.
“Justeru itu, menyerahkan kembali mandat kepada rakyat adalah tindakan bertanggungjawab Umno-BN. Umno-BN mahu rakyat Johor memilih dan menentukan kerajaan pilihan rakyat.
“Ini penting agar semua pihak akan berkeyakinan dengan kerajaan yang dibentuk daripada mandat dan kuasa rakyat,” katanya. – Malaysiapost

