PERIKATAN Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai persediaan menghadapi PRN, PN akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.
“Walaupun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, keputusan pembubaran DUN Johor dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.
“Sekiranya diberi mandat oleh rakyat Johor pada PRN ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor seluruhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Muhyiddin menyeru semua pengundi yang layak mengundi pada PRN Johor ini agar keluar mengundi dengan mematuhi SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya berharap SOP yang akan ditetapkan nanti adalah seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti-parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat,” katanya.
DUN Johor dibubar Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
Tarikh PRN Johor dijangka diumum SPR pada Rabu ini. -Malaysiapost

