Lelaki maut Honda Civic terputus dua

0
1

SEORANG lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan jenis Honda Civic dinaiki mereka terputus dua selepas merempuh pembahagi jalan di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) Pandan Perdana menghala Cheras, hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, pemandu Honda Civic yang berusia 33 tahun itu meninggal dunia disebabkan kecederaan teruk di kepala.

Manakala penumpangnya berusia 39 tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Honda Civic yang dalam perjalanan dari Pandan Indah ke Pandan Perdana tidak dapat mengawal kenderaannya selepas memotong Perodua Myvi.

“Ia menyebabkan pemandu Honda Civic hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di lorong paling kanan.

“Akibat kemalangan, Honda Civic itu terputus dua dan pemandunya tercampak keluar dari kenderaannya, dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pemandu Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 (Pindaan) 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here