Umno konsisten perjuangkan pengeluaran KWSP RM10,000 – Ahmad Zahid

0
1
zahid hamidi

UMNO akan terus konsisten memperjuangkan tuntutan rakyat bagi pengeluaran kali terakhir RM10,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tegas Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kepimpinan parti itu tidak akan jemu membangkitkan isu berkenaan kerana keperluan rakyat yang sangat mendesak ketika ini susulan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

“Saya sangat istiqomah, konsisten sebagaimana Datuk Seri Najib Razak memperjuangkan isu ini.

“Pemuda juga konsisten, Puteri juga konsisten..tentunya apabila istiqomah ini berlaku, maka ianya tidak datang dari kami (Umno) ianya datang dari suara akar umbi yang kita jadi lidah penyambung untuk disampaikan kepada rakyat.

“Pengeluaran i-Citra ini cukup penting terutamannya selepas pandemik, kini pula banjir,” katanya dalam program bual bicara di NR Channel TV, malam tadi.

Ahmad Zahid memaklumkan, beliau dihubungi oleh ramai rakan usahawan kelas menengah menyatakan bahawa mereka kini menunggu notis kebankrapan kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman.

Menerutnya, perkara itu yang menjadi antara punca Umno terus memperjuangkan tuntutan berkenaan.

“Saya tidak akan jemu-jemu membangkitkan perkara itu walaupun Menteri Kewangan telah memperjelaskannya dan saya memahami apakah Kewangan yang dihadapi oleh beliau dan hatta KWSP sendiri.

“Namun, keutamaan situasi sekarang ini mesti diberikan..apa yang disebutkan sebagai menyelesaikan masalah sekarang, jangan tunggu ketika umur persaraan, sebab yang mereka perlukan sekarang ini oleh kerana keperluan yang sangat mendesak,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu sudah tentu Umno akan melakukan pelbagai pendekatan berhubung perkara berkenaan bagi merealisasikan tuntutan itu.

Ahmad Zahid turut bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berpendapat untuk apa simpanan di hari tua, jika akhirnya mereka tidak sempat merasai simpanan itu.

“Saya fikir itu paling tepat telahannya (Asyraf Wajdi),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here