FAKTOR kepercayaan sangat penting dalam sesuatu kerjasama termasuk membabitkan politik dan juga peperangan, tegas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Menurutnya, dalam perang atau pilihan raya, kerjasama boleh dilakukan dengan sesiapa sahaja, asalkan orang yang ingin bekerjasama itu tidak bekerjasama dengan musuh atau lawan.
“Pihak yang ingin bekerjasama itu perlu buat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan kita atau mahu bekerjasama dengan lawan kita, ia tidak boleh bekerjasama dengan kedua-duanya.
“Sebab jika ia mahu bekerjasama dengan kita namun pada masa yang sama ia juga mahu bekerjasama dengan musuh atau lawan kita, apakah jaminan yang kita dapat yang ia akan membantu kita dan bukan musuh kita di medan-medan pertempuran di mana kita bertempur dengan musuh kita?
“Apa akan jadi jika kita beri laluan kepadanya di beberapa medan pertempuran tetapi ia bantu musuh kita di medan pertempuran yang lain untuk mengalahkan kita?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Isham, dalam sejarah perkara berkenaan telah banyak kali berlaku.
“Semasa zaman Rasulullah, orang-orang munafik yang berpura-pura menyokong Rasulullah telah mengkhianati Baginda, dan mereka telah dibantu oleh orang-orang murtad untuk menewaskan Baginda.
“Rasulullah dan para sahabat telah menentang pengkhianat-pengkhianat yang munafik dan murtad ini,” katanya.
Tegasnya, dalam sesuatu kerjasama, faktor kepercayaan itu adalah teramat penting dan adalah sukar untuk mempercayai sesuatu pihak yang bekerjasama dengan musuh atau lawannya, dan tiada siapa yang percaya kepada talam dua muka.
“Jika kepercayaan diragui, maka apa-apa kerjasama tidak akan berjaya. Dan “kerjasama” dengan pihak yang bekerjasama dengan musuh atau dengan pengkhianat kebiasaannya akan membawa mudarat. Tiada siapa yang mahu dikhianati berkali-kali oleh banyak pihak.
“Sebab itu dalam perjuangan perlu ada pendirian, tidak boleh jadi seperti lalang, katak, atau penangguk di banyak tasik yang hanya kira untung dan rugi tanpa menghiraukan prinsip persahabatan dan muafakat,” katanya.
Beliau berkata, semasa zaman Rasulullah SAW, kita tidak disuruh bekerjasama atau bersatu dengan pengkhianat, orang munafik atau orang murtad, malah puak-puak seperti itu perlu ditentang dan dihukum.
“Sahabat yang baik adalah sahabat yang setia bersama kita sewaktu susah dan senang. Dan yang sama-sama membantu kita melawan musuh dan menentang orang yang mengkhianati kita.
“Ruang untuk bekerjasama tidak pernah tertutup, namun jika ikhlas, perlu buat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan kita atau lawan kita, tetapi bukan kedua-duanya. Perlu jujur,” katanya.
Isham berkata, apabila kejujuran menjadi persoalan, akan timbul pelbagai kemusykilan dan kemungkinan dikhianati akhirnya.
“Seperti adakah pihak yang ingin bekerjasama dengan kita tersebut dan kemudian diberi laluan oleh kita, apabila ia menang atas sokongan kita kelak, ia akan melompat kem dan mengkhianati kita pula nanti?
“Jika ini menjadi tanda tanya, mungkin adalah lebih baik kali ini kita pergi berjuang di atas kaki sendiri sahaja sekali lagi,” katanya.
Isham sebelum ini pernah membidas kepimpinan Pas yang mendakwa tindakan Umno tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu yang menyebabkan Muafakat Nasional (MN) terjejas.
Hubungan kedua-dua parti itu dalam MN juga semakin goyah apabila Pas dilihat memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akhirnya menyaksikan Umno bersama komponen BN yang lain memang besar dalam PRN pada 20 November lalu. – Malaysiapost

