
INSTITUSI Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu memperhebatkan lagi kerjasama dengan pemain industri bagi membolehkan pelajarnya mendapat pendidikan serta latihan yang relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepakaran yang dimiliki pemain industri amat membantu dalam membimbing pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan.
“Kita tidak mahu sesebuah institusi pengajian TVET KPLB hanya ada ramai pelajar, tetapi bila tamat pengajian mereka tidak dapat kerja.
“Apabila ada kerjasama dengan pemain industri, sudah tentu tenaga pakar akan bimbing pelajar untuk tingkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi,” katanya.
Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda-Tech) dengan Perodua Sales Sdn Bhd, di Putrajaya, hari ini.
Jelas Mahdzir, kerjasama antara Perda-Tech dan Perodua Sales adalah satu langkah yang tepat.
Katanya, Perda-Tech dan Perodua Sales telah menjalinkan kerjasama dalam bidang latihan automotif sejak tahun 2016 bagi membolehkan pelajar dan tenaga pengajar mendapat bimbingan dalam bidang automotif daripada tenaga profesional.
“Kerjasama seumpama itu perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan institusi terbabit untuk berkhidmat di syarikat perusahaan automobil kedua negara,” katanya. -Malaysiapost
