Himpunan tangkap Azam Baki: 6 jalan utama ditutup esok – Polis

0
1
Suasana sekitar Lembah Klang pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

POLIS akan melaksanakan penutupan enam jalan utama di ibu negara susulan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung di sekitar ibu negara, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya, berkata jalan tersebut adalah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Kesemua jalan ini merupakan enam jalan utama di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang akan dilencongkan kerana terlibat dalam pelaksanaan tugasan itu.

“Lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi esok sehingga selesai tugasan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.

Menurutnya, pengangkutan awam berupa kereta api transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter yang melalui kawasan ibu negara juga akan diberhentikan sementara waktu sepanjang perhimpunan berkenaan berlangsung.

“Justeru itu, saya nasihatkan orang ramai yang mempunyai urusan terutamanya di sekitar ibu negara esok agar merancang perjalanan dengan sebaik-baiknya bagi mengelak terkandas,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki melalui satu kenyataan merancang untuk mengadakan perhimpunan #tangkapAzamBaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada jam 11 pagi esok.

Perhimpunan itu sebagai platform untuk mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa termasuk mendesak proses undang-undang ke atas beliau bermula segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here