23 organisasi tuntut gantung tugas Azam baki serta-merta

0
1

LAPAN tuntutan memorandum termasuk menggantung serta-merta tugas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Tan Sri Azam Baki, diserahkan gabungan 23 organisasi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Memorandum Rakyat Desak Selamatkan SPRM itu bertujuan menyelamatkan suruhanjaya berkenaan sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah.

Menurut kumpulan itu, mereka turut menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi siasatan menyeluruh serta membuat saranan tindakan undang-undang terhadap Azam termasuk memanggil semua saksi dan meneliti semua dokumen berkaitan.

Katanya, Akta SPRM 2009 juga perlu dipinda bagi memperkasa integriti, ketelusan serta proses semak dan imbang yang adil.

“Meletakkan SPRM serta suruhanjaya yang lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk lantikan Ketua Pesuruhjaya.

“Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen perlu dijalankan secara terbuka kepada awam dan keterlibatan secara langsung pihak media,” kata memorandum itu, lapor Berita Harian.

Antara organisasi yang bersama dalam memorandum itu ialah Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Amanah Nasional, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mahasiswa Roket dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Turut dituntut mereka ialah mewajibkan lantikan Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya mengisytiharkan harta kepada masyarakat sebelum pengesahan lantikan.

Mereka juga mendesak kerajaan memperkenal Rang Undang-Undang Hidup Melampaui Kemampuan iaitu mana-mana individu perlu membuktikan kekayaan yang diperoleh sebagai langkah mengekang sebarang salah laku.

“Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010 bagi menjamin perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat,” kata mereka.

Menurut kumpulan berkenaan, lapan tuntutan itu perlu segera dilaksanakan bagi memulihkan integriti negara.

Katanya, tuntutan itu untuk memastikan SPRM menjadi sebuah institusi bebas dan bersih, serta efektif dalam memainkan peranan sebagai institusi terutama untuk membanteras rasuah di negara ini.

“Isu ini sememangnya mencalarkan imej dan reputasi SPRM sekali gus menghakis keyakinan rakyat jika Azam sebagai orang nombor satu institusi terpalit dengan skandal penyelewengan dan salah laku.

“Pada masa sama, kredibiliti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dipersoal berikutan kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dilihat cuba membersihkan nama Azam tanpa mengikut prosedur betul,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here