Makan besar malam Tahun Baru Cina dibenarkan

0
2

KEMENTERIAN Perpaduan Negara hari ini memaklumkan program makan besar malam sambutan Tahun Baru Cina tahun ini dibenarkan kepada semua masyarakat Tiong Hua.

Namun, sebarang majlis rumah terbuka bagi sambutan Tahun Baru Cina adalah tidak dibenarkan.

Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique, berkata bagaimanapun jamuan itu hanya dibenarkan kepada keluarga terdekat sahaja tanpa melibatkan orang luar.

“Selalunya jamuan makan besar bersama keluarga ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan bukan sesiapa saja yang akan datang menyertai jamuan sedemikian,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 di pejabatnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, hanya majlis resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan untuk dianjurkan bagaimanapun ia hanya dibenarkan dibuat di ruang tertutup dan melibatkan jemputan yang terhad.

“Yang dipersetujui oleh jawatankuasa protem dan Kementerian Kesihatan (KKM) ialah jamuan tertutup Tahun Baharu Cina, yang hanya dibenarkan kepada mereka yang mendapat jemputan saja. Tidak ada sesi berterusan berkali-kali, hanya sekali sahaja,” katanya.

“Kebenaran itu diberikan dengan kapasiti 50 peratus ruang dan mesti mengamalkan penjarakan fizikal.

“Persembahan tarian singa dan naga dibenarkan dan tertakluk kepada SOP Industri Kreatif,” katanya.

Selain itu, turut dibenarkan adalah upacara sembahyang khas diadakan pada 1 dan 2 Februari ini di rumah ibadat dengan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Turut dibenarkan adalah sembahyang khas masyarakat Hokkien pada 8 dan 9 Februari dan sembahyang Chap Goh Mei pada 15 Februari dan mesti mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here