JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua premis yang menyediakan khidmat pelacur wanita terdiri daripada gadis Thailand di sekitar Subang Jaya, Selangor dalam Op Gegar, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam operasi itu seramai 14 individu warganegara asing terdiri daripada 12 wanita Thailand, seorang wanita Myanmar dan seorang lelaki warganegara Great Britain ditahan.
Menurutnya, kesemua tahanan itu berusia 21 hingga 69 tahun dan tiga pelanggan lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Operasi dijalankan serentak ke atas kedua-dua premis hotel bajet di Subang Jaya pada jam 8.45 malam dan hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pakej perkhidmatan seks yang ditamatkan adalah dengan harga RM200 sehingga RM270 bagi tempoh masa 45 minit dan RM950 bagi langganan ‘outcall’ bermula dari jam 10 malam sehingga 7 pagi.
“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui ‘Website’ dan ‘Telegram’.
“Semasa serbuan dijalankan semua wanita warga asing tersebut tidak memberikan kerjasama dan enggan membuka pintu bilik.
“Terdapat juga wanita warga asing yang cuba membuat provokasi dan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri,” katanya.
Menurutnya, turut dijumpai semasa serbuan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Malaysiapost

