PERBUATAN meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain bukanlah suatu kaedah menghormati perbezaan agama.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata malah ia sebenarnya merupakan ajaran Pluralisme dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kali ke-74 pada tahun 2006.
“Antara bentuk mengiktiraf agama lain sama seperti agama Islam dan bertentangan dengan syarak adalah dengan menyambut atau meraikan Hari Agama Sedunia.
“Sambutan ini asalnya dimulakan oleh penganut agama Bahai yang bertunjangkan kesatuan agama atas dasar toleransi dan menyemai rasa kasih sayang antara agama.
“Namun sebenarnya, ia bercanggah dengan Islam yang menghormati perbezaan agama tanpa meletakkan semua agama sama dengan Islam,” katanya kenyataan, hari ini.
Afnan Hamimi berkata, setiap golongan masyarakat di negara ini menghormati agama lain dengan mengiktiraf kebebasan beragama, menghormati hak mengamalkan ajaran agama serta memberi ucapan selamat pada setiap perayaan yang disambut.
Namun katanya, pluralisme dan kesatuan agama bukanlah cara mengharmonikan antara agama, sebaliknya membawa kecelaruan yang menghakis kepercayaan agama dan ajaran sebenar.
“Pluralisme agama menimbulkan lebih banyak permasalahan berbanding kebaikan.
“Dalam meraikan kepelbagaian agama dan kaum dalam sebuah negara masyarakat majmuk di Malaysia, cukuplah kita umat Islam berpegang dengan Fiqh Taayush yang telah disusun oleh para alim ulama,” katanya.
Beliau berkata, Islam hanya meraikan kepelbagaian agama dan kaum, namun tidak sehingga mengiktiraf agama lain setaraf dengan agama Islam.
Terdahulu, media melaporkan, tindakan pihak tertentu memuat naik poster ‘Selamat Menyambut Hari Agama Sedunia’ menerima bantahan pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh agama yang menegaskan perkara itu tidak wajar berlaku di sebuah negara dengan Islam adalah agama Persekutuan.
Mereka menegaskan, idea sambutan tersebut adalah ajaran Bahai yang meraikannya pada hari Ahad ketiga pada bulan Januari.
Antaranya tokoh agama yang menentang sambutan tersebut adalah Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr Kamilin Jamilin dan Pakar Rujuk Akidah, Dr Aizam Mas’ud. – Malaysiapost

