NASIB gadis yang dilaporkan tiada dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Gadis dikenali sebagai Rohana Abdullah itu dilapor dibesarkan oleh ibu angkatnya berketurunan Cina, Chee Hoi Lan di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya bagi membantu gadis tersebut.
“Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Rohana menghadapi pelbagai kesukaran dalam kehidupannya termasuk diberhentikan sekolah kerana tiada dokumen pengenalan diri.
Malah, Rohana mengakui tidak boleh membuka akaun bank, berkahwin dan banyak perkara lagi sehingga pernah nekad membunuh diri kerana anxieti melampau.
Rohana juga berterima kasih kepada ibu angkatnya kerana membesarkannya dengan kasih sayang tanpa menukar agama Islam yang dianutinya.
“Saya hanya mengharapkan diberikan status yang membolehkannya menjalani hidup seperti orang lain,” kata Rohana. – Malaysiapost
Foto Kredit: Harian Metro

