FAKTOR utama kekuatan dan kebangkitan Umno adalah kerana kemuafakatan para ahlinya di peringkat akar umbi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata sememangnya Umno adalah milik akar umbi, manakala barisan pimpinannya selaku pemegang amanah.
Katanya, telah terbukti sinergi ketetapan akar umbi Umno yang kemudian diterjemahkan pimpinannya adalah tepat.
Ia susulan kebangkitan Umno susulan kejayaan mendapat kembali sokongan rakyat menerusi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.
“Justeru Presiden Umno dan barisan pimpinan sedia ada tidak akan sesekali berpaling dan mengabaikan suara akar umbinya.
“Biarlah resmi Umno ini cuba ‘didalilkan’ sebagai berorientasikan barat selagi tidak menyanggah hukum Allah SWT.
“Umno akan terus mendengar suara akar umbi apatah suara rakyat seperti yang tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), musuh-musuh Umno berusaha menamatkan sepenuhnya riwayat parti terbesar orang Melayu itu.
Katanya ia sehingga ke tahap Presidennya diugut dan digertak supaya Umno dibubarkan atau akan menanggung akibat, malah sebilangan pemimpinnya yang lemah dan goyah ditawar keselesaan, jawatan atau kedudukan untuk melompat parti.
“Kemudian menghasut ahli Umno konon parti itu sudah tiada masa depan dan memujuk supaya menyertai mereka.
“Muslihatnya agar Umno bertambah lemah seusai tewas PRU14 dan lama kelamaan musnah sendiri.
“Seterusnya mereka berusaha menggunakan saluran undang-undang untuk Umno diisytiharkan parti yang tidak sah,” katanya.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana Umno berjaya mendepani segala perancangan itu dengan bijaksana dan bangkit menentang.
“Selepas menyedari kesemua usaha mereka tidak berhasil, Umno cuba pula dikawal supaya menuruti kehendak.
“Perancangan licik itu juga tidak kesampaian, malah Umno semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah.
“Alhamdulillah begitu teguh jati diri Umno dan tidak sesekali berganjak daripada kebenaran walau ditekan dengan maha hebat,” katanya. – Malaysiapost

