Adun DAP dakwa dihidang minuman aneh

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin kerana disyaki positif dadah.

Menerusi kenyataan di hantaran Facebook, Adun DAP itu berkata sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga klien dan makan sempena Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang.

Menurutnya, apabila tiba di Perai, beliau dibawa ke lokasi yang mana beliau kemudiannya ditahan.

Katanya, beliau teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’, saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit.

“Keesokan harinya saya dimaklumkan bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” katanya dalam hantaran itu.

Terence berkata, ekoran insiden itu, semalam sebaik sahaja dibebaskan daripada ditahan polis, beliau telah membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan.

Jelasnya, beliau juga telah menamakan saksi kejadian tersebut.

“Saksi tersebut telahpun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang dia lihat. Berikutan dengan ini, saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

“Saya akan mempertahan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.

Menurutnya, setelah begitu lama terlibat dalam dunia politik dan setelah dua penggal dilantik sebagai Adun, beliau amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat dan salah satunya untuk mematuhi undang-undang.

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan malah perlu nampak sebagai terlaksana. Itulah pendirian saya selama ini.

“Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini yang mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

“Tiada apa yang berubah dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here