AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mempersoalkan tindakan polis memanggilnya untuk siasatan susulan kehadirannya ketika penyerahan memo terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Isnin lalu.
Menerusi ciapan di Twitter, Ahli Parlimen PKR itu memaklumkan beliau telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 10 pagi esok.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan bila pihak polis akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta adiknya untuk disoal siasat.
“Sehubungan kehadiran saya menyaksikan penyerahan memo oleh @AMKMalaysia kepada @SPRMMalaysia pada Isnin, 10/1/22 saya telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak @PDRMsia esok.
“Azam Baki dan adik beliau dah disoal siasat?,” ciapnya di Twitter.
Isnin lalu, AMK menyerahkan memorandum kepada SPRM di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, berhubung dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat melibatkan Azam.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata memorandum itu terdiri 13 kad bantahan bertulis ‘Undur Azam Baki’ yang diserahkan kepada SPRM bagi menyampaikan pandangan rakyat negara ini.
Maszlee antara pemimpin PKR yang turut hadir ketika penyerahan memo tersebut. – Malaysiapost

