MOF fokus jaminan kemakmuran negara bagi tahun 2022 – Tengku Zafrul

0
1

FOKUS utama Kementerian Kewangan (MOF) untuk tahun 2022 adalah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi bagi menjamin kemakmuran negara.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM331.2 bilion bagi Bajet 2022 iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara

Beliau berkata, melalui bajet berkenaan, lebih RM32 bilion diperuntukkan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat

“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima melalui pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Tarikh pendaftaran baharu dan kemaskini BKM dibuka mulai 1 Januari hingga 31 Januari ini bagi memastikan mereka yang layak dapat mengemukakan permohonan masing-masing

“Penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat berpeluang membuat kemaskini,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-81 dan ulasan isu semasa dalam siaran langsung disiarkan di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, setakat 10 Januari lalu, hampir 1.7 juta permohonan BKM telah diterima yang hampir 95 peratus adalah permohonan secara dalam talian.

Katanya, bagi pemohon yang tidak mempunyai kemudahan internet, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka kaunter perkhidmatan BKM di semua pejabat cawangannya termasuk pada hujung minggu pertama dan keempat pada Januari ini.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion di bawah inisiatif Jamin Kerja untuk menjana peluang pekerjaan.

“Tahun lalu sasaran penempatan pekerjaan adalah 500,000 pekerjaan dan berjaya dicapai, manakala tahun ini sasaran dinaikkan kepada 600,000 pekerjaan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, untuk para usahawan pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti.

Tengku Zafrul berkata, tahun 2021 melabuhkan tirai dengan bencana banjir yang masih dialami negara sehingga ke hari ini dan bagi membantu mangsa banjir, kerajaan telah menyediakan pelbagai pakej bantuan banjir bernilai lebih RM1.4 bilion.

“MOF juga telah memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi kerja-kerja pemulihan pasca banjir iaiatu RM100 juta peruntukan asal dengan tambahan RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan RM50 juta untuk Pahang.

“MOF turut membangunkan satu portal bantuan banjir iaitu bantuanbanjur.com yang menyenaraikan kesemua bantuan yang berkaitan banjir dan yang boleh dipohon oleh mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau berharap Bajet 2022 dapat memberi sinar harapan untuk Keluarga Malaysia dan bantuan banjir yang diberikan dapat membantu mangsa banjir memulakan kehidupan mereka dan untuk rakyat secara keseluruhannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here