Remaja hilang ditemui kebingungan

0
1

REMAJA lelaki yang hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, malam kelmarin, ditemui penduduk dalam keadaan kepenatan serta kebingungan di atas sebuah jambatan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata,
Muhammad Iznun Al-Azim Mahadi, 13, ditemui jam 5.30 petang pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Menurut Choon Foo, remaja berkenaan berjalan dalam keadaan kepenatan serta kelihatan kebingungan ketika ditemui penduduk yang kebetulan melalui kawasan kampung itu.

“Penduduk yang menemuinya segera membawa remaja itu pulang ke rumah keluarganya. Melihat keadaannya yang membimbangkan, kami akan membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, keluarga remaja berkenaan bersyukur kerana anak mereka ditemui selamat selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Remaja lelaki dipercayai hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak jam 10 malam kelmarin.

Mangsa dikatakan sedang bermain bersama rakannya di gelanggang sepak takraw yang terletak berhampiran rumahnya sebelum masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, mangsa tidak keluar semula menyebabkan rakannya menyangka remaja berkenaan sudah pulang ke rumah. – Malaysiapost

Kredit Foto : NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here