Maritim Malaysia tahan kapal tangki Jerman 

0
1

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Jerman di perairan Pulau Jarak di Lumut, Perak kelmarin, kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata kapal tangki sepanjang 171.20 meter ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada jam 11.15 pagi.

Beliau berkata, kapal dikendalikan seorang nakhoda dengan 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berusia 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

“Kapal tangki berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).

“Semua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shahrizan berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak kerana menceroboh zon tangkapan ikan selepas didapati menangkap ikan kurang 12 batu nautika daripada daratan pada 5.40 petang, hari sama.

“Bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru warga Thailand dan Laos itu berusia antara 36 hingga 51 tahun ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here