
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi jaminan akan menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Melaka United (MUFC) yang didakwa tertunggak tiga bulan.
“Insyallah patik akan usahakan perkara ini sebaik mungkin,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) membalas nasihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi aplikasi WhatsApp.
Menerusi tangkap layar yang dimuat naik di Instagram, TMJ yang juga Penaung Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menasihati Sulaiman supaya menyegerakan isu tersebut.

“Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.
“Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerusi satu tangkap layar yang tular di media sosial hari ini.
TMJ dipercayai berkongsi tangkap layar perbualan tersebut awal hari ini.
Semalam, pengurusan MUFC memberi jaminan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi musim 2021 akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurut MUFC, kelewatan berlaku disebabkan kelab itu dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan. – Malaysiapost
