Kes lelaki dimandikan seperti jenazah bukan berlaku di Bachok

0
1

KEJADIAN seorang lelaki dimandikan seperti jenazah susulan ditangkap selepas dipercayai mencuri duit tabung di sebuah masjid seperti yang tular di media sosial sejak semalam, bukan berlaku di Masjid Jelawat, Bachok, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata hasil semakan pihaknya mendapati tiada kejadian sedemikian berlaku di masjid berkenaan.

Menurutnya, pihaknya mengesan satu video yang ditularkan dalam Facebook memaparkan kejadian beberapa individu memandikan seorang lelaki di atas tempat mandi jenazah kerana melakukan kesalahan mencuri tabung Masjid Jelawat.

“Hasil semakan dan siasatan Polis Daerah Bachok mendapati tiada kejadian sedemikian di masjid berkenaan seperti ditularkan.

“Masyarakat diminta tidak menularkan atau menyebarkan sebarang video yang boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas boleh diambil jika terdapat perlakuan sapah do bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular video berdurasi seminit 25 saat di media sosial sejak semalam memaparkan seorang pemuda dimandikan seperti jenazah oleh imam masjid sambil diperhatikan beberapa individu lain.

Pemuda yang lengkap berpakaian itu turut dimandikan dengan kapur barus dan cuba bangun ketika disiram dengan air. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here