Abu Zahar harap isu babitkan Azam Baki diselesai segera

0
1

PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berharap semua isu berkaitan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat terhadap Tan Sri Azam Baki dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata, penyelesaian segera amat penting demi ketenteraman awam yang masih bergelut dengan masalah sosioekonomi akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang menerima kritikan banyak pihak kerana dianggap berpihak kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, pihak berkuasa yang berkaitan perlu mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan berkenaan bagi mengelakkan polemik berlarutan.

“Perkara ini jika berterusan tidak elok dari segi ketenteraman awam kerana negara sedang menghadapi masalah Covid-19 dan rakyat di luar sana susah.

“Jika nak timbulkan kemelut yang tak menentu ini, akan menyebabkan orang lagi berasa kecewa.

“Jadi, saya berharap kalau boleh, cepat-cepatlah siasat mana-mana pihak pun, nak tubuh apa pun dan jangan dibiarkan berlarutan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, Abu Zahar pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, menegaskan beliau sedia disiasat berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu berkenaan isu pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam.

Beliau turut menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan beberapa perkara berbangkit susulan kenyataan pada 5 Januari lalu yang mana beliau dilaporkan berpuas hati dengan penjelasan Azam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here