PBS tak berganjak tangani masalah PATI di Sabah

0
1

PARTI Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berganjak dari pendiriannya berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai.

Menurutnya, keikhlasan parti membendung masalah ituterbukti apabila beberapa minggu lalu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), mencadangkan agar isu itu dibincangkan oleh pengubal undang- undang di Sabah melalui jawatankuasa khas antara parti.

Joniston berkata pada Jun 2020, Ongkili juga mengetuai delegasi kepimpinan tertinggi PBS menyerahkan memorandum mengandungi cadangan penyelesaian kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di samping mengikuti perkembangan perkara tersebut secara berterusan.

Katanya, Antara cadangan PBS agar kerajaan menggunakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas PATI dan hasil “Projek IC” sebagai rujukan untuk menangani masalah yang telah lama berlarutan itu.

“Ongkili juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon mereka laksana “Undi 18” di Sabah selepas Daftar Pemilih Negeri dibersihkan daripada pengundi yang meragukan, yang mana jumlah mereka sangat ramai di negeri itu.

“Malah PBS telah membuat temujanji dengan pengerusi SPR bagi menyatakan dan membincangkan kebimbangan kami dan PBS masih menunggu ia (mesyuarat) menjadi kenyataan, walaupun terdapat banyak tindakan susulan.

“Pendirian kami mengenai PATI dan “Projek IC” tidak pernah goyah dan PBS akan terus mencari jalan penyelesaian paling sesuai kepada masalah itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Joniston mengulas gesaan bekas Senator PBS Dr Chong Eng Leong agar Ongkili menyatakan pendiriannya dalam isu “Projek IC”.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu berkata perjuangan membebaskan Sabah daripada PATI kekal sebagai isu utama diketengahkan PBS sejak penubuhannya pada 1985 dan parti itu sangat konsisten dalam isu tersebut.

Katanya, perjuangan PBS yang konsisten dalam isu itu terbukti dengan penubuhan Biro khas mengenai PATI, diketuai seorang pemimpin kanan parti sejak penubuhannya pada 1985.

Menurutnya biro itu kini diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Radin Malleh yang selama ini menjadi antara yang aktif dalam mengetengahkan isu PATI.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here