Kerajaan Selangor perlu baiki kelemahan tangani banjir – Chin Kok

0
1
Lau Chin Kok

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu memperbaiki kelemahan pengurusan bencana banjir yang menjejaskan puluhan ribu rakyat pada 18 Disember lalu, kata Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok.

Beliau berkata, gesaan Otai Reformasi 1998 yang sering dikaitkan dan mesra dengan Parti Keadilan Rakyat supaya prosedur pengurusan banjir di negeri itu disiasat harus dipertimbangkan Kerajaan Selangor.

Katanya, peranan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor juga dilihat kurang memuaskan dalam memberi arahan bagi mengelakkan berulangnya bencana banjir.

“Sedia maklum, banjir yang melanda negeri Selangor baru-baru ini memberi mimpi ngeri buat penduduk. Ia bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi juga meragut banyak nyawa.

“SUK Negeri Selangor dilihat gagal mengendalikan Bilik Gerakan Bencana di bangunan SUK dengan baik sehingga telah menyebabkan aset-aset agensi Kerajaan Negeri, termasuk aset-aset pihak berkuasa tempatan (PBT) lambat dihantar ke kawasan bencana banjir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Chin Kok berkata, lebih menyedihkan apabila Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari tidak mengetahui peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dipengerusikan oleh SUK.

Katanya, sehinggakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Tan Sri Noh Omar perlu mengadakan sidang akhbar untuk memberi pencerahan pada 22 Disember lalu.

“Benar, ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa. Namun, Kerajaan PH Selangor perlu muhasabah diri untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan memastikan kejadian sama tidak berulang di masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here