RAKYAT Malaysia tidak seharusnya sekali lagi berhadapan skandal memalukan sekali gus menanggung keaiban buat kali ketiga susulan isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disuarakan veteran DAP Lim Kit Siang yang berkata Malaysia sudah berdepan dua keaiban iaitu kes 1MDB dan pensabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International, yang mendapat perhatian sedunia.
“Jangan pula kita tanggung keaiban ketiga, di mana ketua SPRM kehilangan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Kit Siang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Jemaah Menteri menamatkan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika beliau tidak bersedia untuk menghadap jawatankuasa pilihan khas bagi menjelaskan isu pemilikan saham korporatnya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, keputusan berhubung perkara itu akan menjadi ‘peluang terakhir’ Ismail Sabri dalam usaha menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri di kala kerajaannya berdepan beberapa isu ketika ini.
Selain itu, menurut Kit Siang, Jemaah Menteri juga perlu memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada 20 Januari ini bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan.
“Menerima, membahas dan memutuskan sebarang laporan yang mungkin dikeluarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri mengenai kontroversi itu,” katanya.
Pada 5 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Tan Sri Abu Zahar Ujang membersihkan nama Azam daripada isu pemilikan saha, selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjejaskan pembelian saham atas namanya dibeli oleh adiknya dan tidak menjadi konflik kepentingan.
Bagaimanapun pada 8 Januari lalu, enam ahli LPPR mendakwa kenyataan Abu Zahar itu hanya pandangan peribadinya bukan mewakili lembaga itu. – Malaysiapost

