PERSATUAN Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) melahirkan rasa sangat terkejut dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa 14 peratus daripada 122 kes Omicron melibatkan jemaah umrah, tidak mempunyai rekod vaksin.
Presidennya, Dr Fathir Badri berkata apa yang lebih memeranjatkan Menteri Kesihatan turut menyatakan jemaah tersebut dikendalikan oleh agensi pelancongan.
Ini kerana katanya, prosedur operasi standard (SOP) untuk seseorang jemaah mengerjakan umrah yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi adalah sangat ketat.
“Maklumat jenis vaksin serta tahap kesihatan perlu dimasukan ke aplikasi mereka dikenali sebagai Muqem 72 jam sebelum jemaah memulakan penerbangan.
“Aplikasi ini bersambung dengan dua aplikasi lagi iaitu Tawakalna dan Eatamarna yang informasinya saling berpaut untuk mendapatkan slot mengerjakan umrah, memasuki Raudhah dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
“Oleh yang demikian, SAFTTA menuntut maklumbalas segera dari KKM adakah 14 peratus yang disebut itu semuanya jemaah umrah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Fathir berkata pihaknya agak terkilan kerana sudah empat hari kenyataan
tersebut dibuat tetapi KKM masih menyiasat perkara tersebut.
“Lebih lama masa KKM ambil, lebih teruk persepsi masyarakat terhadap jemaah umrah. Ini dapat kita lihat dan baca di media sosial yang rata-rata masyarakat menyalahkan jemaah umrah sanggup menipu untuk mengerjakan ibadat tersebut.
“Sehingga menarik perhatian beberapa mufti untuk memberikan komen,” katanya lagi.
Sehubungan itu tegasnya, SAFTTA menuntut KKM segera memberi kenyataan berhubung perkara itu dan jika memang terbukti ia dikendalikan agensi pelancongan, pihaknya akan menyokong untuk agensi tersebut diambil tindakan tegas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pada 6 Januari lalu, Khairy menyatakan KKM mengesan ketidakpatuhan SOP apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah tidak menerima suntikan vaksin.
Sehubungan itu beliau dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti alasan 17 jemaah terbabit mengenai perkara itu. – Malaysiapost

