PENYANYI Datuk Nora Ariffin, 49, mengakui perkahwinan kali keduanya diadakan ‘senyap-senyap’ kerana tidak mahu menghebohkannya kepada umum.
Bagaimanapun, Nora menafikan sekali lagi tuduhan yang mendakwa dia dan suami, Dr Rushdi Ramli sudah berkahwin sejak dua tahun lalu.
“Pertama sekali, kahwin senyap-senyap memang betul. Memang saya tak berniat nak beria-ia bercerita kepada umum sebab ini perkahwinan kedua dan itu hak saya untuk taknak kecohkan.
“Mengenai dakwaan yang menuduh saya sudah dua tahun berkahwin, rasanya memang tak benar. Yang penting, kami buat benda yang halal iaitu berkahwin dan ia bukan perkara tidak baik pun,” katanya dalam temu bual rancangan Melodi, hari ini.
Berkenaan dengan dakwaan bahawa Rushdi sudah menceraikan isteri pertamanya, pelantun lagu Persimpangan Dilema itu tidak mahu mengulas lanjut dan meminta bertanyakan sendiri kepada suaminya.
“Itu saya rasa kena tanya dia (suami) sendiri. Nanti kalau saya jawab, salah pula. Bagi saya ia sebenarnya tak penting pun.
“Yang penting saya bukan pergi buat dosa atau buat maksiat. Itu lebih penting. Kalau saya ditangkap khalwat lagi teruk kan.
“Kita tak nak tengok orang berkahwin, kita nak pula dia bercerai. Tak baik begitu,” ujarnya.
Sementara itu, Rushdi mengakui dia adalah kawan baik kepada suami pertama Nora, Allahyarham Johan.
“Mungkin hubungan saya dengan Datuk Nora sangat terbatas. Saya tak pernah berbual dengan dia, memang tiada.
“Jadi, mungkin apa yang dilalui ini semua ketentuan Allah SWT yang di luar jangkaan saya sendiri,” katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan mendakwa penyanyi itu berbohong berkenaan perkahwinannya yang dikatakan baru sahaja berlangsung, namun sebenarnya sudah memasuki tahun kedua.
Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Disember lalu, Nora mengumumkan telah selamat mendirikan rumah tangga dengan kawan baik arwah suaminya dalam satu majlis tertutup. – Malaysiapost

